Perangi Ancaman Dadah

SIBU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu serius dalam memerangi ancaman dadah dipercayai kian menular di daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo berkata, kes dan tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori menunjukkan peningkatan ketara dan perlu dibendung segera.

Sebagai contoh, katanya, sebanyak tujuh kes dan 14 tangkapan dicatat di daerah ini bagi tempoh Januari hingga 17 Mei 2016 berbanding hanya tiga kes dan tujuh tangkapan sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2015.

“Jumlah kes dan tangkapan dicatatkan bagi tempoh Januari hingga semalam (kelmarin) didapati berganda berbanding tahun lalu,” ujarnya pada sidang media di sini, pagi semalam.

Manakala, katanya, sebanyak 15 kes dan 28 tangkapan dicatat pada tempoh Januari hingga 17 Mei tahun ini berbanding 27 kes dan 47 tangkapan dicatat sepanjang tempoh tahun lalu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 kerana memiliki dadah (5gm ke atas tetapi kurang daripada 30gm).

Menurut Martin, rampasan dadah jenis syabu pada Januari hingga 17 Mei tahun ini juga menunjukkan peningkatan iaitu seberat 336 gm berbanding Januari hingga Disember tahun lalu hanya 332.6 gm.

Antara lain, turut mencatatkan peningkatan ialah Ketamin 50gm (2015) berbanding 900gm (Jan-16 Mei 2016), pil ekstasi 442 biji (2015) berbanding 3603 biji (Jan-16 Mei 2016), ganja 28.42gm (2015) 287.55 gm (Jan-16 Mei 2016).

Justeru, beliau menggesa orang ramai mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti dadah agar tidak teragak-agak tampil memaklumkan kepada pihak polis.

“Anda juga boleh menghubungi kami jika enggan bersemuka dengan polis jika mendapati mana-mana individu terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di sekeliling anda,” tambahnya.

Pada sidang media sama, Martin memberitahu dalam kes terbaharu sepasang suami isteri diberkas bersama dadah bernilai RM286,500 di hadapan sebuah rumah di Jalan Salim-Stabau dekat sini, Isnin lalu.

Beliau berkata, si suami berumur 25 tahun dan isterinya, 23, yang sarat mengandung ditahan pada jam 9.30 malam selepas disyaki terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah, polis menjumpai dadah jenis pil ekstasi pelbagai warna dan saiz sebanyak 3,728 biji bernilai RM180,000 (harga pasaran) dan Ketamin seberat 0.9 kilogram bernilai RM100,000,” ujarnya.

image
TERBONGKAR: Serbuk ekstasi disimpan di dalam peket-peket kopi.

Martin berkata, turut ditemui ialah 250 biji pil Erimin 5 yang disimpan di dalam 25 keping kerajang timah berwarna perak dan merah iaitu 10 biji setiap satu keping kerajang (RM120 satu keping) bernilai RM3,000, serbuk ekstasi disimpan di dalam peket kopi (RM150 satu peket) seberat 415 gram bernilai RM3,000 dan serbuk ekstasi seberat 48 gram bernilai RM500.

“Bersabit dengan tangkapan tersebut, pihak polis juga telah merampas dan menyita harta-harta daripada kedua-dua suspek kerana dipercayai hasil pengedaran dadah,” jelasnya.

Katanya, harta-harta itu termasuk sebuah kereta jenis Toyota Hilux dan Perodua Myvi masing-masing bernilai RM95,000 dan RM30,000, pelbagai jenis barang kemas (RM15,000) dan sejumlah wang tunai.

Martin berkata, harta-harta yang dirampas akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Menurut beliau, kedua-dua suspek akan direman tujuh hari untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal, kami percaya dadah tersebut telah dibawa masuk dari Semenanjung Malaysia melalui perkhidmatan kurier dan dijual kepada pembeli-pembeli tempatan,” jelas Martin.

Katanya, pasangan terbabit telah menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak setengah tahun lalu.

“Pil ekstasi akan dijual kepada pembeli-pembeli tempatan dengan harga RM50 satu biji, manakala pil Erimin 5 dijual dengan harga RM250 satu keping,” katanya.

Tambahnya, suspek lelaki tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berniaga secara kecil-kecilan dan pasangan tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Jelasnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

SOURCE → http://www.theborneopost.com/2016/05/19/perangi-ancaman-dadah/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s