“Kami Ditunjuk Rakaman Kepala Mangsa Dipenggal”

SIBU – Tiada lain yang diingatkan mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina pada 1 April lalu melainkan mati.

Perkataan mati sentiasa bermain di kotak fikiran mereka, jika tidak mati ditangan penculik, mungkin mati akibat operasi pengeboman tentera kerajaan Filipina yang dilakukan dari semasa ke semasa.

“Kami benar-benar takut. Kami tidak fikir boleh balik. Hari-hari kami berdoa supaya kami selamat,” kata seorang mangsa Wong Teck Kang, 31.

Beliau bersama adiknya Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21, serta seorang rakan Wong Hung Sing, 34, yang kesemua mereka dari Sibu diculik dari atas kapal tunda MV Massive 6 di perairan Pulau Ligitan.

Ketika itu kapal tersebut dalam perjalanan pulang ke Tawau, Sabah selepas menghantar kargo kayu ke Manila.

Mereka kemudiannya dibebaskan pada 8 Jun.

Ditemui di rumah keluarganya di Pulau Li Hua di sini hari ini, Teck Kang menceritakan bagaimana mereka diculik oleh tujuh individu bertutup muka dan bersenjata sebelum dibawa ke sebuah pulau.

“Kami di pulau itu tiga hari. Tidak ada makan atau minum. Cuma minum air hujan,” katanya.

Mereka hanya diberikan makan nasi berlaukkan ikan dan seliter air yang dibahagi di kalangan mereka selepas dipindahkan dari pulau itu ke sebuah kawasan berbukit yang diselaputi hutan tebal, yang kanopi pokok-pokok menyukarkan helikopter tentera untuk melihat apa yang terdapat di bawahnya.

“Makan pun tidak tentu. Kadang-kadang makan, kadang-kadang tidak. Tidur malam di atas tanah, itupun takut kena bom,” katanya.

Menurutnya, kaki mereka dirantai setiap masa kecuali masa dipindahkan ke tempat lain ataupun sekiranya mereka mahu membuang air.

Ada kalanya mereka dipukul kerana bercakap antara satu sama lain atau tanpa sebarang sebab pun.

“Ada satu ketika kami ditunjukkan rakaman kejadian pemenggalan kepala seorang mangsa culik berbangsa kaukasia. Saya tidak tahu apa sebabnya (ditunjukkan rakaman itu), hingga kami benar-benar takut,” katanya.

Teck Kang berkata kumpulan tersebut ada masanya membenarkan mereka berhubung dengan keluarga mereka.

Namun pada awal pagi 8 Jun, beliau berkata mereka dibawa menaiki bot menuju Sabah dan sampai di sebuah jeti di Sandakan pada 6 pagi di mana tujuh individu bersenjata yang boleh berbahasa Melayu dan Inggeris memberitahu mereka supaya tidak lagi bimbang kerana mereka sudah selamat.

Selepas membebaskan mereka berempat, lelaki-lelaki bersenjata itu kemudiannya terus meninggalkan perairan Sabah.

Teck Kang juga memberitahu dengan kejadian itu, beliau sudah serik menjadi kelasi kapal dan mahu terus hidup bersama isterinya Le Thi Thunh Thuy, 27, anak lelakinya yang berusia tiga tahun dan bayi lelaki yang berusia tiga bulan. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s