MISTERI LELUHUR HANTU BANGKIT

bcd9bf_01f408562d6741269f8ba6c7f58ec462-mv2

MISTERI LELUHUR HANTU BANGKIT DI DALAM KOMUNITI MELAYU SARAWAK

ORIGINAL DARI : Borneo Oracle

VIRAL di dalam dunia maya mengenai cerita hantu bangkit atau pocong “kembali” menyelubungi penghidupan perkampungan Melayu di kawasan seberang Sungai Sarawak dalam beberapa hari ini. Terlalu banyak desas-desus cerita mengenainya sehingga menyebabkan perkampungan Melayu seperti Kampung Bintawa, Kampung Surabaya, Kampung Semarang, Kampung Boyan, Kampung Panglima Seman dikatakan menjadi sunyi sepi di sebelah malamnya.

 Setakat ini tidaklah diketahui samada ianya benar atau tidak namun dari cerita orang-orang kampung seperti ramai yang terserempak dengan “hantu bangkit” tersebut. Sejajar dengan era zaman moden juga viral video yang dikatakan “hantu bangkit” tersebut di dunia maya. Cuma agak terkesima kerana apabila menyaksikan video itu seperti ada sesuatu yang tidak kena. Lagak “hantu bangkit” itu tidaklah seperti yang sering kita ketahui dengan berkain kapan, terlompat2 dan sebagainya Cuma mungkin zaman moden “hantu bangkit” sudah mampu mencari seluar pendek untuk dipakaikan. 😛

 Hakikatnya dunia mistik ini sebenarnya melangkaui batas waktu dan cerita hantu bangkit ini bukan sahaja berada di dalam komuniti Melayu Sarawak sebaliknya hampir semua wilayah nusantara itu berkongsi cerita yang sama. Membentang dari Indonesia, Malaysia, Singapura sehingga ke Filipina juga ada cerita mengenai hantu bangkit dan kerana itu ianya bukan hanya hakmilik “urban legend” bagi orang dari Tanah Kayong sahaja.

 Cuma mungkin untuk konteks “hantu bangkit” di perkampungan Melayu seberang Sungai Sarawak sekarang mungkin ada kena mengena dengan masyarakat yang membuka perkampungan ini iaitu Orang Kayong mahupun Orang Boyan dan signifikasinya nama-nama perkampungan yang ala-ala berada di wilayah Indonesia juga membenarkan ceritanya.

 Dan diceritakan sejak dari dahulu lagi, masyarakat Melayu Sarawak begitu cerewet apabila berbicara memilih menantu dan kebiasaannya satu proses yang panjang akan diperlukan bagi menghindari masyarakat Kayong menjadi keluarga mereka kerana atas kepercayaan “hantu bangkit” ini akan menjadi legasi keturunan mereka. Dikhabarkan oleh kerana adanya tanggapan sedemikian menyebabkan masyarakat kayong berkahwin sesama diri mereka bagi mengelak kecelaruan antara masyarakat Melayu pada masa itu.

 Apabila berkata perkahwinan sesama masyarakat Kayong menyebabkan penularan legasi “hantu bangkit” semakin menjadi kerana dari ceritanya dikatakan legasi keturunan itu akan berpanjangan. Dari nasab keturunan yang sama baik sebelah ibu dan ayah menyebabkan legasi “hantu bangkit” yang asli bukan hanya terhenti pada 7 keturunan sebaliknya berpanjangan sehingga ke hari ini.

 Bagi memperjelaskan mengenai cerita mistik ini, akan diketengahkan beberapa cerita mengenai leluhur “hantu bangkit” di kalangan komuniti Melayu Sarawak. Ini berdasarkan kepada cerita ceriti nenek moyang kita mengenai keberadaan misterinya hantu bangkit ini di kalangan masyarakat Sarawak sejak dari dahulu sehingga sekarang.

 1. Sumpahan 7 Penebang Pohon Kedondong Dari Tanah Kayong, Kalimantan

 Yang dinamakan dengan Tanah Kayong adalah sempadan negerinya bermula daripada Tanjung Datu hingga ke Banjarmasin seperti Kerajaan Lama Sukadana, Tanjungpura, Simpang Matan dan kerajaan Kayong itu sendiri. Kesemua kerajaan-kerajaan ini adalah kerajaan Melayu yang berkait rapat dengan kewujudan Kerajaan Kesultanan Brunei pada suatu waktu dahulu. Ramai rakyat berbangsa Melayu dari kerajaan-kerajaan lama ini telah berhijrah dan membentuk masyarakat Melayu Sarawak yang kita dapati di Sarawak sekarang. Salah satu daripada mereka yang berhijrah ini adalah Orang Kayong.

 Cerita masyarakat Kayong dengan mitos mistik Hantu Bangkit ini bermula di sebuah kampung di Tanah Kayong, Diceritakan pada suatu waktu dahulu terdapat sebuah kampung yang sentiasa di dalam keadaan yang tidak terang malah amat sukar untuk ditembusi cahaya matahari kerana dikatakan terletak di bawah sepohon kayu yang amat besar sehingga dahan-dahannya telah menutup ruang untuk mendapat cahaya matahari. Hal ini amat membingungkan penduduk kampung maka bermesyuaratlah mereka apakah jalan yang sebaiknya agar mereka dapat menerima cahaya matahari. Setelah itu maka mereka pun bersetuju satu-satunya jalan adalah dengan menebang pokok tersebut.

 Seperti yang dipersetujui di dalam mesyuarat maka tibalah hari yang dijanjikan iaitu hari untuk menebang pokok tersebut. Keseluruhan orang lelaki Kampung tersebut telah siap siaga dengan alatan untuk menebang pokok seperti gergaji, parang dan sebagainya. Setelah diperkenankan oleh ketua kampung tersebut maka 7 pemuda yang gagah perkasa telah bertindak untuk menebang pokok tersebut secara berganti-ganti dengan kapak mereka. Namun apa yang menghairankan mereka biar apa cara sekalipun untuk menebang pokok tersebut tetap tidak menampak kesan kepada pokok tersebut malah tidak tercarik sedikit pun.

 Di kala mereka semua pasrah dengan apa yang berlaku itu tiba-tiba terdengar suara yang datang dari pokok tersebut. Penduduk kampung amat kaget kerana pokok tersebut telah memberi amaran bahawa barang sesiapa yang menebang pokok tersebut maka mereka akan disumpah bangkit dari mati selama 7 hari dan ianya disumpah selama 7 keturunan. Pemuda-pemuda gagah perkasa yang seramai 7 orang itu rasa tercabar dengan amaran pokok tersebut malah mereka dengan marah telah bertindak menebang pokok tersebut tanpa memperdulikan kata-kata nasihat daripada penduduk kampung tersebut. Setelah berhempas pulas akhirnya pokok tersebut pun menyembah bumi. 7 penduduk lelaki perkasa itu puas dengan apa yang terjadi kerana bagi mereka pokok tersebut hanya mengada-adakan cerita.

 Setelah seketika, tiba-tiba pemuda ke 7 yang menebang pokok tersebut telah mati mengejut dan mereka dikuburkan seperti biasa malah penduduk kampung juga sudah melupai sumpahan pokok tersebut. Apabila malamnya tiba-tiba kedengaran hiruk pikuk di rumah pemuda ke 7 kerana ahli keluarganya serta beberapa orang penduduk kampung telah menjumpai si pemuda ke 7 pulang ke rumah walaupun baru sahaja dikuburkan pada petang itu.

 Maka bermulalah malam-malam seterusnya yang mana setiap malam akan ada sahaja penduduk kampung melihat kelibat si mati pemuda ke-7 merayau-rayau menuju ke rumahnya ataupun menjenguk rumah saudara maranya. Hal ini berlaku selama 7 malam berturut-turut dan dikatakan setiap kali dia sudah menziarahi rumah keluarganya pada keesokan harinya akan terdapatlah bekas tanda tanah-tanah kubur terlekat di lantai dan tangga rumah.

 Berbalik kepada cerita 6 pemuda yang bersama-sama dengan pemuda ke-7 menebang pokok tersebut maka timbullah ketakutan di dalam diri mereka akan nasib yang menimpa saudara pemuda ke-7. Bertindak daripada peristiwa itu dikatakan 6 pemuda ini telah berpindah daripada kampung mereka mengembara membawa diri sehinggalah membentuk sebuah masyarakat Melayu di Sarawak antaranya. Tujuannya adalah untuk menghindarkan diri daripada sumpahan tersebut.

 Mereka menyesali apa yang sudah mereka lakukan kerana amat degil tidak mendengar nasihat orang tua-tua kampung namun nasi sudahpun menjadi bubur dan sumpahan itu tetap akan berada pada mereka dan juga kepada keseluruhan 7 keturunan mereka tidak mengira tempat betapa jauhnya mereka daripada Tanah Kayong itu sendiri.

 2. Sumpahan Memakan “Ikan Sebelah” di Kalangan Melanau Matu-Daro

 Untuk hantu bangkit di kalangan masyarakat Melanau pula banyak bercerita tentang perkaitan mereka dengan satu sumpahan memakan sejenis ikan iaitu yang dikenali ikan sebelah atau di dalam bahasa standardnya Ikan Sisa Nabi. Menurut cerita orang tua-tua di kalangan masyarakat Melanau walaupun mereka merupakan pelayar dan nelayan yang disegani tetapi mereka dilarang sama-sekali memakan jenis ikan seperti ini.

 Dan ada di kalangan Melanau Matu-Daro suatu waktu dahulu degil tidak memperdulikan larangan mahupun pantang larang nenek moyang mereka. Kerana dikatakan sudah memakan jenis ikan tersebut maka golongan ini dikatakan menjadi “hantu bangkit” selepas mereka dikebumikan. Sumpahan itu juga terpalit pada setiap 7 keturunan mereka sejak dahulu lagi.

 Dari konteks perkampungan di seberang Sungai Sarawak pula jangan pernah kita lupa mengenai penghijrahan Melanau Matu-Daru ke perkampungan seperti Kampung Bintawa Hilir dan sekitarnya. Malah sehingga sekarang perkaitan orang Melanau Matu Daro dapat dibuktikan apabila adanya kewujudan SK Matu Daro di kawasan tersebut.

 Dikala penghijrahan inilah dikatakan legasi keturunan Melanau Matu Daro yang terkena sumpahan itu turut sama-sama membuka perkampungan tersebut dan akhirnya adanya legasi hantu bangkit di kalangan mereka di kawasan Kuching yang kita ketahui hebat ceritanya sejak di tahun 1950an dan berakhir pada sekitar tahun 1990an.

 3. Tiada “Alur Hidung” Di Kalangan Melayu Perabangan Saribas

 Melayu perabangan adalah simbol kepada keturunan legasi kepimpinan Melayu Sarawak yang gah namanya sejak dari zaman Kesultanan Brunei sehinggalah sekarang. Dan mereka juga turut terpalit dengan cerita ceriti mengenai legasi keturunan hantu bangkit ini.

 Cuma perlulah diketahui bahawa Melayu Perabangan yang dimaksudkan ini BUKANLAH secara keseluruhannya sebaliknya lebih mengkhusus kepada Melayu Perabangan di sebelah bahagian Saribas, Kalaka, Lingga iaitu keturunan daripada legasi “Awang damit-damit” dari Kerajaan Negeri Kalaka, Kerajaan Negeri Saribas yang mana merupakan antara kerajaan Melayu kuno yang hilang di Sarawak.

Keturunan “awang damit-damit” ini merupakan anugerah yang diberikan oleh Sultan Brunei kepada keturunan Dato Abang Godam dari Riau. Melalui keturunan mereka maka timbul pula Melayu Perabangan yang menggunakan marga nama keluarga “Abang” dan “Dayang” di dalam komuniti Melayu Saribas suatu waktu dahulu. Cerita legenda Dayang Isah dari Tandang Sari ataupun Pusa sekarang mewarnai asal usul keturunan Melayu Perabangan dari kawasan tersebut.

Dan leluhur “hantu bangkit” di kalangan Melayu Perabangan Saribas ini hanya terpalit pada mereka yang dikatakan tidak mempunyai alur hidung. Maksudnya jika dilihat pada wajah mereka akan terserlah bahawa di bahagian hidung mereka tidak mempunyai alur seperti wajah-wajah manusia yang lain. Hendak dijadikan cerita kerana dilahirkan tanpa alur hidung ini menyebabkan suatu waktu dahulu, ada di kalangan mereka sedaya upaya mungkin cuba untuk mengukir alur itu diwajah mereka bagi mengelakkan pandangan skeptikal masyarakat suatu waktu dahulu.

Mungkin ramai pernah mendengar tentang keberadaan Pulau Burung di daerah Sebuyau sekarang yang masih lagi menjadi antara tinggalan warisan pemakaman lama-lama Melayu dahulukala. Dan sebenarnya menurut cerita orang tua-tua bahawa Pulau Burung dipilih untuk menjadi tapak perkuburan adalah kerana adanya legasi “hantu bangkit” di kalangan Melayu Perabangan di Saribas suatu waktu dahulu.

Jika diikutkan bahawa larangan atau pantang kepada “hantu bangkit” adalah menyeberang lautan dan ini bermakna apabila ada legasi “hantu bangkit” dikuburkan di kawasan seperti Pulau Burung maka tidaklah ia mampu menyeberang sehingga ke daratan kerana terletak di tengah-tengah laut. Dan diceritakan saudara mara yang mengubur jasad keluarga mereka di Pulau Burung akan segera menguburnya sebelum matahari terbenam dan usai pengebumian akan cepat-cepat berkayuh perahu pulang ke kampung masing-masing.

Itu caranya orang dahulukala cuba menghindarkan diri daripada diselubungi ketakutan bagi mengelak roh-roh “hantu bangkit” kembali menjengah ke pintu rumah sanak saudara mereka di daratan.  Selain daripada itu dikatakan masyarakat Melayu dulu-dulu apabila ada sahaja yang meninggal dunia dan sudah dikenalpasti siapa mereka sememangnya sudah bersedia segalanya. Daun-daun “neruju” misalnya akan digantung di tingkap dan pintu rumah selain daripada adanya nibong tajam yang disandarkan pada daun pintu. Segala dibuat bagi memastikan bahawa “hantu bangkit” tidak boleh masuk ke rumah mereka. Allahualam.

Artikel ini ditulis berdasarkan kepada cerita oral yang dihimpun daripada cerita orang tua-tua di dalam komuniti Melayu Sarawak dahulukala. Setakat ini tiada kajian saintifik yang dapat membenarkan segala kenyataannya. Samada benar atau tidak itu terpulang kepada pemahaman masing-masing dan tujuan hanya satu iaitu untuk berkongsi pandangan dan cerita orang tua kita dahulu kala.

Walau apa jua pandangan kita mengenai betapa misteri dan mistiknya “hantu bangkit” di kalangan komuniti kita janganlah kita sesekali lupa bahawa segala yang berlaku adalah kerana kehendak Allah SWT iaitu yang maha Agung dan maha Esa. Janganlah kerana kepercayaan sebegini membuat kita taksub sehingga menjadikan kita hidup di dalam kesyirikan.

“Usah Biarkan Diri Anda Diselubungi Misteri”

#KamekSayangSarawakBah!

Penulis Oleh : KenyalangLegacy (Copyright With Permission From Borneo Oracle

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s