Ke muka pengadilan

Dalang utama kes bunuh Bill Kayong berjaya ditangkap, didakwa atas tuduhan bersubahat membunuh.

DITUDUH SEGERA: Lee dikawal ketat oleh anggota polis dibawa masuk ke Mahkamah Majistret untuk dituduh petang semalam.

MIRI: Setelah 172 hari melarikan diri ke beberapa negara, dalang utama bergelar Datuk akhirnya berjaya ditangkap dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret petang semalam atas tuduhan bersubahat membunuh pemimpin PKR Miri, Bill Kayong.

Datuk Stephen Lee Chee Kiang, 45, dari Jalan Woodhouse, Tanjung Lobang di sini didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh bersama-sama Lie Chang Loon, 37, Chin Wui Chung, 50, dan seorang lagi yang masih bebas telah bersubahat mengupah Mohamad Fitri Pauzi, 29, untuk membunuh Kayong.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 8.20 pagi, 21 Jun tahun ini di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pasar Raya Emart, Jalan Kuala Baram Bypass di sini.

Tertuduh yang memakai pakaian lokap hanya menganggukkan kepala tanda faham setelah jurubahasa mahkamah membacakan fakta tuduhan sebanyak dua kali kepadanya.

Bagaimanapun, tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Noor Fadzila Ishak kemudian memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes sementara menunggu kebenaran mendakwa daripada pengarah pendakwaan dan seterusnya memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 177A (1) Kanun Prosedur Jenayah untuk sebutan lanjut.

AKHIRNYA: Lee dikawal ketat oleh polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Miri pagi semalam.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan permohonan itu dan menetapkan 30 Disember ini untuk sebutan lanjut kes.

Manakala tertuduh yang diwakili peguam bela Ranbir Singh diperintah supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Lambir sementara menunggu tarikh tersebut.

Terdahulu, Lee berjaya diberkas oleh pihak berkuasa China pada 12 Disember lalu di Putian, Wilayah Fujian.

Lee yang diiringi pulang ke Malaysia oleh satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC Dato’ Dev Kumar setelah diusir keluar dari Xiamen, China kemudian ditangkap pada jam 7.45 malam, 13 Disember di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Dev, Lee telah masuk ke China pada 18 Julai lalu menggunakan penerbangan dari Melbourne, Australia ke Xiamen, China.

“Kita dapat maklumat bahawa sabjek telah pergi ke Fujian pada 18 Julai lalu dan sejak itu, kita telah berusaha untuk mencarinya dengan bantuan polis negara tersebut.

“Dia kemudian ditahan pihak berkuasa China kerana berada di negara itu tanpa mempunyai dokumen perjalanan sah setelah pasportnya dibatalkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Miri di sini, semalam.

Sebelum itu, menurut Dev, pihak polis telah memohon kepada Jabatan Imigresen untuk membatalkan pasport milik Lee.

Justeru, katanya, apabila pasportnya dibatalkan, dia tidak mempunyai dokumen perjalanan sah menyebabkan dia diusir keluar dari Xiamen oleh pihak berkuasa China.

“Saya dan dua pegawai masing-masing seorang pegawai Interpol dan seorang pegawai dari Sarawak telah berada di China sejak 8 Disember lalu dan terpaksa menunggu selama lima hari sementara menanti China buat urusan pengusiran sabjek keluar dari negara itu,” katanya sambil memberitahu, Lee pergi ke Fujian dipercayai untuk bertemu rakan atau ahli keluarga yang mungkin berada di wilayah itu.

Sehubungan itu, kata Dev, dengan penangkapan Lee, polis kini masih memburu seorang lagi lelaki yang dikenali sebagai Kong Sien Ming, 35, yang dipercayai ada kaitan dengan kes berkenaan namun masih bebas dan belum dapat dipastikan lokasi dia berada.

Lee melarikan diri dengan berlepas ke Singapura dari Miri pada 23 Jun lalu iaitu dua hari selepas kejadian tembak mati Kayong dan kemudian berlepas ke Melbourne, Australia pada 3 Julai.

Dalam kejadian sekitar jam 8.20 pagi, 21 Jun tahun ini, Kayong, 43, ditembak mati dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali menggunakan selaras senapang patah.

Kejadian belaku ketika mangsa yang memandu kenderaan jenis pacuan empat roda berhenti di lorong tengah menghala arah Permyjaya di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pusat Komersil Emart, Tudan di sini.

Mangsa sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Desa Senadin untuk ke tempat kerja yang terletak di pusat bandar.

KRONOLOGI KES

BorneoPost Online

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s